SHAH ALAM 1 JULAI : Kerajaan Negeri bakal memberi bonus kepada
kakitangan pusat khidmat DUN yang mencapai target dalam menjayakan
program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberian itu
bertujuan mempertingkatkan penglibatan masyarakat terhadap program MES
selain memastikan golongan yang memerlukan dapat dibantu.
Katanya, pemberian bonus ini sebagai satu galakan agar keberkesanan
kerajaan prihatin akan dapat dicapai dan jumlahnya akan dibincangkan
nanti.
“Tetapi kita dapati adakalanya maklumat program MES tidak sampai
kepada rakyat dan kita merencanakan beberapa pendekatan untuk
memperhebat hubungan itu ,” katanya menjawab pertanyaan lisan Hasbullah
Mohd Ridwan (PAS-Gombak Setia) ketika sidang Dewan Negeri Selangor
(DNS).
Selain itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri sentiasa mencuba
mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam menambah
baik program MES termasuk syarat-syarat bagi memastikan manfaatnya
dinikmati oleh semua golongan.
“Oleh itu, pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa memantau perlaksanaan
setiap program dari masa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar
melalui laporan yang dikemas kini dari masa ke semasa kepada Kerajaan
Negeri.
“Kita juga sentiasa menerima dan mengambil kira segala cadangan atau
apa juga teguran yang diterima bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.
Antara program MES yang diperkenalan sejak 2008 ialah air percuma,
Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas) dan yang terbaru insentif
perkahwinan kepada belia berumur 35 tahun ke bawah, tidak ketinggalan
bantuan untuk golongan warga emas serta banyak lagi program.
Info berkaitan program MES disediakan di portal rasmi MES iaitu
mes.selangor.gov.my , di pusat khidmat DUN, pengedaran risalah di setiap
daerah, promosi melalui billboard dan kaunter-kaunter penerangan MES di
gerai pameran majlis Kerajaan Negeri.






0 comments:
Post a Comment