SHAH ALAM, 1 JUL : Faktor utama rizab negeri berjumlah RM2.8 bilion
pada akhir Mei 2013 adalah disebabkan pelaksanaan operasi bersepadu
mengutip hasil tanah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelaksanaan
operasi ini turut mendorong kepada pertambahan kadar kutipan cukai
sehingga melebihi 100 peratus.
Jelasnya, peningkatan kadar kutipan cukai dengan nilai dua kali ganda
ini dijayakan melalui kutipan dari rumah ke rumah selain mengenalpasti
pemilik tanah yang gagal membayar cukai.
“Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Daerah dan Tanah
sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa
kaedah, antaranya membuka kaunter kutipan di luar pejabat Daerah dan
Tanah di kawasan pedalaman.
“Kita juga turut menambah saluran atau kaedah pembayaran secara
online dan pusat pembayaran di kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),”
katanya.
Abdul Khalid berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan mulut
daripada Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung langkah-langkah proaktif
Kerajaan Negeri mengukuhkan kedudukan kewangan negeri Selangor dalam
Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Tambahnya, pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri
juga berjaya membantu Pakatan Rakyat (PR) Selangor menguruskan lebihan
tunai (rizab) dengan lebih efisyen di samping memberi pulangan faedah
yang optimum.
Menurutnya, melalui jawatankuasa itu, Kerajaan Negeri berjaya
mengutip hasil daripada faedah ke atas pelaburan sebanyak RM52 juta pada
tahun 2012 berbanding RM14 juta pada tahun 2007.
“Pelaksanaan garis panduan perbelanjaan berhemah dikeluarkan
Perbendaharaan Negeri Selangor membantu Kerajaan Negeri memperkemaskan
dan membuat penambahbaikan terhadap pengurusan perbelanjaan,” katanya
lagi.






0 comments:
Post a Comment