SHAH ALAM 1 JULAI : Rakyat Selangor boleh mengakses maklumat di semua
jabatan dalam Kerajaan Negeri tanpa sekatan daripada mana-mana pihak.
Perkara ini dinyatakan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam
Sekitar, Elizabeth Wong sebagai jawapan kepada soalan tambahan Datuk
Shamsuddin Lias (BN -Sungai Burong) yang sebelum itu mendakwa terdapat
sesetengah maklumat perlu meminta kebenaran Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim.
Elizabeth menjelaskan dalam Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2013,
sekatan hanya akan dilakukan sekiranya maklumat terbabit terkandung
dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memerlukan kebenaran daripada badan
yang terlibat.
“Untuk makluman memang tidak benar kebenaran perlu didapati oleh
Menteri Besar, saya syorkan Sungai Burong dan Adun yang lain perlu
membaca semula enakmen, di dalam itu disenaraikan maklumat itu boleh
didapati dari siapa dan kaedah-kaedah yang digunakan,” katanya dalam
sidang Dewan Undangan Selangor (DNS).
Beliau menambah badan maklumat negeri adalah sebuah badan yang bebas
dan adil yang mana ahlinya terdiri daripada golongan yang berpengalaman.
Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2013 dikuatkuasa pada 5 Mac 2013
melalui pemberitahuan dalam warta Selangor bersekali dengan dua
undang-undang subsidari peraturan-peraturan kebebasan maklumat (akses).
Seramai 41 orang pegawai dari pelbagai Jabatan Negeri dan badan berkanun dilantik menjadi pegawai maklumat.
Mereka diberi pendedahan dan latihan berhubung tugas-tugas melalui dua siri latihan pada bulan Disember 2012 dan Mac 2013.
Mengulas lanjut, Elizabeth memaklumkan pelbagai program akan
dijalankan sebagai galakan orang awam menggunakan enakmen itu termasuk
pengedaran poster ke semua jabatan sebagai promosi dan pembukaan gerai
pameran ke acara Kerajaan Negeri.
Enakmen itu hanya berkuatkuasa kepada Kerajaan Negeri Selangor dan
jabatan-jabatan di bawahnya. Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan
Persekutuan walaupun bertempat ataupun bertugas di negeri Selangor tidak
termasuk dalam enakmen ini. Maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)
juga tidak termasuk.
Undang-undang kebebasan maklumat menetapkan peraturan dalam
pemerolehan maklumat yang dipegang oleh badan-badan kerajaan.
Undang-undang ini menjelaskan proses perundangan yang mewajibkan
maklumat kerajaan dibuka kepada orang awam.
Tujuannya untuk menggalakkan ketelusan dan menangani rasuah.






0 comments:
Post a Comment