BATU CAVES 27 JAN : Pakatan Rakyat (PR) menjalankan pembangunan secara
berterusan demi kepentingan rakyat semua kaum dan tidak sekadar
menghadapi pilihan raya.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, apa dikatakan
sudah dikotakan gabungan itu sejak mengambilalih pentadbiran Kerajaan
Negeri Selangor sejak 2008.
“Pakatan Rakyat tunai janji sejak 2008. Kita buktikan kita bukan buat program kerana mahu pilihan raya.
“Dari 2008 kita sudah janji mahu buat pembangunan untuk semua kaum
dan kaum India sendiri kita telah berikan peruntukan untuk sekolah,
kuil, tempat beribadat dan program kebajikan.
“Ini bukan saja hari ini tapi ini adalah satu kerja yang berterusan”,
katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Thaipusam di sini
malam tadi.
Majlis tersebut dihadiri lebih 5,000 orang termasuk barisan pemimpin Pakatan Rakyat.
Dalam majlis itu, Menteri Besar menyampaikan peruntukan Kerajaan
Negeri kepada rumah ibadat bukan Islam (Hindu) Selangor sebanyak
RM375,000 dan sekolah Tamil Selangor (RM927,500).
Beliau berkata, rakyat boleh membuat perbandingan antara PR dan
Umno-BN dalam tempoh lima tahun iaitu selepas 2008 dan sebelumnya iaitu
kerajaan mana yang lebih mementingkan kebajikan rakyat.
“Pembangunan bukan satu hari, satu bulan dan masa pilihan raya.
Pembangunan masyarakat ialah pembangunan yang berterusan bertahun-tahun.
“PR percaya apa yang dilakukan ialah asas pembangunan masyarakat.
Gunakan peluang ini untuk kita berdoa supaya masyarakat Malaysia semua
kaum dapat dibangunkan dengan baik, tiada rasuah, tiada salah guna kuasa
dan memberi kebajikan kepada rakyat,” katanya.






0 comments:
Post a Comment