Monday, 16 April 2012

Melayu: Teras sambut baik saranan Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 16 April: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyambut baik saranan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai perjuangan Melayu yang perlu bersandar kepada Islam.

“Seperti yang telah selalu dan secara konsisten ditekankan oleh Teras, perjuangan Melayu yang tidak berdasarkan Islam adalah batil,” kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Menurutnya, membelakangkan Islam dan menomborsatukan Melayu adalah perjuangan yang tidak boleh diterima malah perlu ditolak, tidak kira yang memperjuangkannya adalah atas nama NGO atau parti politik.

“Kami sangat menyanjung tinggi mesej beliau yang mahu semua pertubuhan yang memperjuangkan bangsa Melayu memahami bahawa menyatakan kasih kepada bangsa adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan Islam, namun membenci dan bermusuh dengan bangsa lain sehingga menafikan hak dan melakukan kezaliman ke atas mereka adalah ditolak oleh Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Lantaran itu, katanya sangat wajar setiap pertubuhan yang mengangkat persoalan Melayu mengisytiharkan secara tegas dan jelas prinsip masing-masing, apakah benar-benar berpandukan neraca Islam sebagai asas untuk memperjuangkan bangsa atau sebaliknya.

Malah, tambahnya mengatasnamakan perjuangan mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu itu sekalipun, juga perlu bersandarkan Islam sepenuhnya.

Sesungguhnya, kata Azmi kedaulatan Raja-raja Melayu hanya sah dengan berdalilkan Islam sebagai peraturan yang memerintah, bukan yang diperintah.

Menurutnya lagi, Teras berpandangan sejak dari awal lagi bahawa memang memperjuangkan nasib bangsa sendiri demi mengangkat darjat sosioekonomi kaum sendiri agar mencapai paras yang lebih bermaruah, sangat wajar malah dituntut tetapi ia perlu berasaskan konsep, pendekatan dan matlamat yang semestinya sesuai dan menepati kehendak syariat Islam.

Katanya, konsep keadilan sebagai prinsip dalam memperjuangkan nasib bangsa mesti melepasi kepentingan yang lain.

“Dengan demikian, slogan ketuanan Melayu adalah tidak relevan kerana insan Melayu sepatutnya  hanya menerima konsep keunggulan Islam dan tidak konsep feudal membuta tuli kepada kepimpinan Melayu yang terkeluar dari landasan Islam dan berpegang kepada faham aliran sekular,” ujarnya.

Tambahnya, Teras akan menolak mana-mana pihak yang melaungkan slogan berjuang untuk bangsa Melayu berkonsepkan ‘Hidup Melayu, tidak kira benar atau salah’.

Katanya, perjuangan mana-mana kelompok atas nama Melayu yang terlepas dari prinsip kebenaran dan keadilan yang ditakrif oleh Islam tidak mungkin boleh diterima sebagai mewakili perjuangan Melayu.

0 comments:

Post a Comment