TEMERLOH, 15 Feb: PAS menggesa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memohon maaf dan menarik balik kenyataannya pada 8 Februari lalu bahawa PAS adalah parti ajaran sesat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, PAS kesal dan terguris dengan kenyataan provokasi itu selain menampakkan kedangkalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu sendiri.
“Kita anggap keceluparan Ahmad yang berbaur emosi itu sangat melampau. Kalau PAS parti ajaran sesat mengapa tidak diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan seperti kumpulan sesat lain.
“Mengapa PAS boleh diterima memerintah Kelantan, Kedah dan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.
“Parti manakah yang meluluskan lesen judi, premis arak dan pusat maksiat di negara ini? Apakah menghalalkan yang diharamkan Islam itu tidak sesat?” soal Tuan Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika diminta ulasannya mengenai kenyataan Ahmad yang dilaporkan menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal, Kemaman.
Ahmad juga dilaporkan enggan tunduk kepada desakan PAS supaya menarik balik kenyataannya.
Tuan Ibrahim berkata, sebagai seorang Menteri Besar Ahmad tidak sepatutnya bersikap seperti AJK Umno cawangan.
“Dia tidak tahukah bahawa rujukan tertinggi PAS ialah Al-Qur-an, Hadis, ijmak dan kias. Jika menuduh PAS sesat itu bermakna menafikan sumber rujukan PAS itu sendiri.
“Pada hari ini orang-orang PAS dipanggil mendoakan daripada anak-anak yang baru lahir hinggalah mengkebumikan jenazah. Itukah sesat?
“Kita akui kebiadaban Menteri Besar Terengganu ini melukakan hati ahli-ahli dan penyokong PAS dan harap rakyat Terengganu yang pernah memilih PAS berkuasa pada pilihan raya 1999 menghukumnya,” tambahnya.
Kata Tuan Ibrahim lagi, PAS sudah banyak berdepan dengan karenah Umno umpamanya parti Hizbul Muslimin pernah diharamkan, kemudian simbol bulan bintang pada PAS juga diharamkan. Malah perkataan Islam pada PAS juga pernah beberapa kali mahu diharamkan oleh mereka.
Jelas beliau, Ahmad harus ingat pada ketika berlaku krisis dalam Umno apabila beliau dilantik menjadi Menteri Besar tetapi mendapat serangan daripada orang-orang Idris Jusoh, PAS yang banyak membantunya.
Mengenai tindakan mahkamah jika Ahmad tetap enggan mohon maaf, Tuan Ibrahim menegaskan, ia akan diputuskan kemudian.






0 comments:
Post a Comment